(Tiada Siti) Hasmah
PuisiKetuhanan1 min bacaan74 perkataan17 baris4 rangkap
pagi ini namamu disebut,
seperti hujan jatuh di kaca jendela;
seratus tahun akhirnya tiba di penghujung,
rumah pernah meramahi langkahmu,
kini belajar mengenal sunyi.
orang akan menyebutmu dengan
nama panjang,
gambar lama,
sejarah;
tetapi hari ini kami menyebutmu Hasmah,
tiada Siti, tiada lagu,
hanya seorang perempuan yang telah pulang.
barangkali begitulah akhirnya sebuah nama:
tinggal pada mereka yang masih mengingati,
pemiliknya telah jauh daripada suara;
kami lepaskan segala cerita kepada waktu–
kepada Tuhan, Hasmah sudah kembali.